NADI - click for home

NADI - click for home
  Follow us on:    
 

NADI
username:  
 
password:  
 
[lost your password?]
 
About Us Join NADI Donate Now Get Involved Contact Us Home
 
    Home All About Diabetes » Pre-Diabetes » 
 

Mengurus pradiabetes dengan pemakanan sihat

Date: 12 November 2006

Seperti yang telah anda ketahui melalui artikel-artikel kami yang telah lepas, penghidap pradiabetes mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal tetapi masih tidak cukup tinggi seperti paras penghidap diabetes.

Mereka ini kebiasaannya juga mempunyai tekanan darah yang tinggi, paras lipid (lemak) darah yang tinggi dan selalu juga obes atau mempunyai berat badan yang berlebihan.

Selain daripada meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit diabetes jenis 2, kombinasi keadaan-keadaan ini akan turut menambahkan lagi risiko mendapat serangan jantung atau strok (angin ahmar).

Namun demikian, menurut beberapa kajian di China, Amerika Syarikat dan Finland, keadaan pradiabetes ini (dan masalah-masalah lain yang berkaitan) masih boleh diurus, dan berkemungkinan dikembalikan kepada keadaan normal, melalui amalan makan secara sihat, kerap bersenam dan pengurusan berat badan yang sempurna.

Adakah pankreas anda terlebih bekerja?

Apabila makanan ditukar oleh badan kepada glukosa dan paras glukosa darah mula meningkat, pankreas (satu organ yang terletak di belakang perut) akan mula mengeluarkan lebih banyak insulin ke dalam aliran darah agar ia mencukupi untuk membantu mengangkut glukosa ke sel-sel badan dengan lebih berkesan terutama sekali ke sel-sel otot-otot dan hati.

Jumlah insulin yang terhasil akan mula menurun apabila lebih banyak glukosa meninggalkan aliran darah untuk memasuki sel-sel badan. Walau bagaimanapun, keadaan adalah agak berbeza bagi penghidap pradiabetes. Keadaan Rintangan Terhadap Insulin akan menyebabkan glukosa tidak dapat memasuki sel-sel badan dengan mudah dan menyebabkannya berkumpul di dalam darah.

Secara semula jadi, pankreas anda akan bertindak balas dan terus menghasilkan lebih banyak lagi insulin untuk membantu mengangkut lebih banyak glukosa memasuki sel-sel badan. Tetapi, bagaimana efektifnya insulin bertindak bergantung kepada tahap Rintangan Terhadap Insulin anda.

Namun pada hakikatnya, terlalu banyak insulin telah pun dihasilkan. Ini mengakibatkan hiperinsulinemia, satu keadaan di mana kandungan insulin yang berlebihan di dalam darah.

Sesetengah penyelidik percaya bahawa kepekatan insulin yang tinggi secara sendirinya, akan merosakkan saluran-saluran darah sama seperti yang diakibatkan oleh paras glukosa darah yang tinggi.

Namun, telah terbukti juga bahawa hiperinsulinemia merupakan satu tanda amaran yang pankreas anda sedang bekerja keras. Ia terpaksa menghasilkan banyak insulin secara berterusan kerana terdapat banyak glukosa yang perlu diangkut keluar dari aliran darah anda!

Jika anda enggan melakukan sesuatu untuk mengurus pradiabetes anda, maka keadaan Rintangan Terhadap Insulin anda ini akan menjadi bertambah teruk, paras glukosa darah anda juga akan semakin meningkat dan pada masa yang sama akan menyebabkan pankreas anda menderita akibat mengalami tekanan yang hebat.

Akhirnya apabila anda didiagnosis dengan diabetes jenis 2, pankreas anda mungkin telah menjadi terlampau letih. Menurut kajian, apabila anda telah menghidap diabetes jenis 2, pankreas anda mungkin telah kehilangan 50 peratus daripada keupayaannya untuk menghasilkan insulin.

Dan jika anda masih terus tidak menguruskannya dengan baik selama beberapa tahun lagi, pankreas anda mungkin akan terus gagal sama sekali. Apabila ini terjadi, anda akan terpaksa mengambil suntikan insulin untuk mengawal paras glukosa darah anda!

Tip-tip pemakanan untuk pankreas yang sihat

* Kenali karbohidrat. Terdapat dua kumpulan karbohidrat yang utama: Kompleks dan ringkas. Karbohidrat kompleks terdapat dalam biji-bijian, bijirin dan ubi-ubian. Karbohidrat ringkas pula terdapat dalam bentuk sukrosa (gula tebu putih, perang atau merah), fruktosa (gula dalam buah-buahan) dan laktosa (gula dalam susu). Badan anda akan menukar makanan-makanan ini kepada glukosa untuk membekalkan tenaga kepada anda.

* Pilih karbohidrat yang baik. Makanan berkarbohidrat kompleks (seperti beras, mi, roti, produk bijirin dan ubi-ubian) merupakan sumber-sumber tenaga yang disyorkan kerana karbohidrat-karbohidrat kompleks akan diurai kepada gula-gula ringkas melalui proses yang lebih perlahan. Akibatnya, sistem penghadaman anda turut melalui proses penyerapan yang lebih perlahan.

Ini seterusnya akan menyebabkan kenaikan secara perlahan paras glukosa dalam darah, dan oleh itu memberikan masa kepada pankreas untuk bertindak terhadap kenaikan paras glukosa tersebut.Pengambilan makanan dan minuman yang manis perlu dikurangkan atau dielakkan sama sekali.

* Lebihkan makanan berserat. Serat iaitu sejenis karbohidrat kompleks adalah bahagian makanan daripada tumbuh-tumbuhan yang tidak boleh dicerna.

Sumber-sumber semula jadi serat adalah makanan berkarbohidrat kompleks yang tidak bertapis, legum (seperti kacang pea dan lentil), buah-buahan dan sayur-sayuran.

Walau bagaimanapun, tidak kesemua makanan berkarbohidrat yang diproses mempunyai kandungan serat yang tinggi. Contohnya, kebanyakan beras yang diproses dan roti sandwic putih yang biasa, hampir tidak mengandungi serat tidak larut sama sekali.

* Pilih makanan berkarbohidrat yang mempunyai nilai Indeks Glisemik (GI) yang rendah. GI merupakan pengukur cepat atau lambatnya badan anda menukar karbohidrat yang terkandung dalam sesuatu makanan kepada glukosa dan melepaskannya ke dalam aliran darah anda.

Walaupun ini bukanlah pertimbangan yang hanya perlu dibuat apabila memilih makanan berkarbohidrat, namun makanan yang mempunyai nilai GI yang rendah (sila rujuk jadual di bawah) sememangnya merupakan pilihan yang lebih baik apabila anda menghidap pradiabetes.

* Makan secara berpatutan dan jarakkan pengambilan karbohidrat. Menghidapi pradiabetes tidak bermakna anda perlu mengambil diet yang rendah karbohidrat.

Sebenarnya, anda hanya perlu makan makanan berkarbohidrat secara munasabah dan dalam kuantiti yang konsisten pada setiap hari serta dijarakkan sepanjang hari.

Sesetengah pakar mungkin akan mengesyorkan agar anda makan kerap tetapi setiap kali dalam kuantiti yang sedikit sepanjang hari supaya tiada peningkatan paras glukosa darah yang mengejut atau terlalu tinggi yang tidak dapat ditangani oleh pankreas anda.

Amalkan cita rasa yang baik untuk kesihatan. Di samping mengawal pengambilan karbohidrat (dan juga jumlah kalori, jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes), anda perlu memastikan pengambilan makanan berlemak tinggi dan juga yang bergaram kekal pada tahap minimum.

Ini bagi membantu mengurangkan paras kolesterol darah tinggi dan tekanan darah yang tinggi jika anda telah didiagnosis menghidap kedua-duanya sekali.

- Datuk Prof. Mustaffa Embong ialah Pakar Perunding Diabetes, Institut Diabetes Negara.

Artikel ini disumbangkan oleh Program Menangani Wabak Diabetes (FAD), anjuran Institut Diabetes Negara (NADI) dengan usaha sama Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

Program ini juga disokong dengan geran pendidikan tanpa syarat daripada program Taj Mahal Rice For Life, Pharmaniaga Berhad dan Gardenia Breakthru. Untuk pertanyaan, sila hubungi Sekretariat FAD di talian 03-56211408.

This article was first published in Mingguan Malaysia on 12 November 2006.

 


  printer Printer-friendly version   printer Send link to a friend

| | | |

Copyright 2009 National Diabetes Institute (NADI). All rights reserved 2009
designed & maintained: mobition